I am hopeful. I am optimistic - Syed Saddiq

 

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berharap hari ini kebenaran akan menang seterusnya beliau dibebaskan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan, dan denda RM10 juta atas empat kesalahan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) yang dihadapinya.

"I am hopeful. I am optimistic (Saya berharap, saya optimis). Saya menaruhkan harapan sepenuhnya dan nasib saya di tangan Allah SWT dan kepada fakta dan data yang telahpun dibentangkan dan akan dibicarakan oleh para Yang Arif Hakim yang disegani dan yang saya hormati.

"Saya hanya mohon sahabat-sahabat yang menonton, yang datang ke sini dan juga yang di luar untuk tolong doakan supaya kebenaran dan keadilan menang. Itu saja permintaan dan permohonan saya," katanya kepada media sebelum prosiding rayuannya yang masuk hari kedua bermula di Mahkamah Rayuan, hari ini.

Dalam pada itu, Syed Saddiq, 32, menyatakan bahawa disebalik ketenangan yang dipamerkan, beliau sedikit sebanyak tetap berasa gentar untuk menerima keputusan rayuannya yang mungkin diputuskan barisan tiga hakim, hari ini.

"Ada sedikit rasa gentar tetapi ia sedikit, kerana setelah lima tahun menunggu, saya rasa proses menunggu itu jauh lebih teruk daripada hari keputusan.

"Lebih-lebih lagi apabila tahu jauh di dalam hati, saya tahu saya tidak bersalah dan saya tahu kata-kata saya tidak cukup.

Kata-kata itu hanya boleh dibuktikan melalui institusi keadilan dan institusi kehakiman," katanya.

Terdahulu, Syed Saddiq, 32, tiba di Mahkamah Rayuan pada hari kedua proses rayuannya untuk membatalkan hukuman penjara tujuh tahun yang dijatuhkan terhadapnya selepas didapati bersalah atas pecah amanah jenayah dua tahun lalu, hari ini.

Ahli Parlimen Muar itu dilihat tiba di perkarangan Istana Kehakiman dengan diiringi dua pegawai, kira-kira jam 10.20 pagi tadi.

Sebelum itu, ahli keluarga Syed Saddiq terdiri ibu bapa, kakak dan abangnya serta saudara terdekat tiba di lobi Istana Kehakiman, kira-kira jam 9.25 pagi tadi.

Bella datang lagi pada hari kedua

Selain sokongan ahli keluarga, penyanyi dan pelakon, Bella Astillah turut hadir untuk memberi sokongan kepada Syed Saddiq Syed, hari ini.

Bella yang dilihat berkemeja dan berseluar serba putih tiba di pekarangan Istana Kehakiman kira-kira jam 10.28 pagi tadi, kira-kira lapan minit selepas ketibaan Syed Saddiq diiringi tiga individu.

Pada 9 November 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman terhadap Syed Saddiq, selepas mendapati beliau bersalah atas empat pertuduhan membabitkan pecah amanah, salah guna harta, dan pengubahan wang haram berkaitan dana ARMADA.

Susulan keputusan berkenaan, bekas Ketua ARMADA BERSATU itu memfailkan rayuan dengan mengemukakan 18 alasan dalam petisyen rayuannya bagi mengetepikan hukuman serta dibebaskan daripada semua pertuduhan.

Pada 22 Julai 2021, Syed Saddiq didakwa atas dua pertuduhan iaitu bersubahat untuk melakukan pecah amanah dana sebuah parti politik berjumlah RM1 juta dan menyalahgunakan wang sumbangan RM120,000 untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Pada 5 Ogos 2021, Syed Saddiq didakwa lagi atas dua pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM100,000 di Mahkamah Sesyen Johor Bahru dan hakim membenarkan kes ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama.

Comments

VIDEO WAJIB TONTON : Apa maksud DS Ahmad Maslan tentang dia saksi hidup dalam isu Mas Ermieyati

VIDEO PILIHAN : Sahur di "Traffic Light"