Umat Islam mula berpuasa Ahad 2 Mac

 


Umat Islam di Malaysia mula berpuasa pada Ahad 2 Mac, demikian diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.

Syed Danial berkata, tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia ditetapkan menurut perintah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.


Pengumuman itu disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam ini.

Pada 20 Februari lalu, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja menerusi satu kenyataan menetapkan hari ini bersamaan 29 Syaaban 1446 Hijrah untuk melihat anak bulan Ramadan bagi menentukan permulaan puasa buat umat Islam di Malaysia.

Menurut kenyataan itu lagi, jawatankuasa-jawatankuasa yang berkenaan sudah diperkenankan untuk melihat anak bulan Ramadan pada petang hari berkenaan di 29 lokasi di seluruh negara.

Lokasi terbabit termasuk di Pontian Kecil, Johor, dan Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara di Melaka, Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson di Negeri Sembilan, serta Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat; dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam di Selangor.

Seterusnya, Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru di Manjung, Perak; Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh di Pulau Pinang; serta Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda; Pemandangan Indah, Pulau Langkawi; dan Menara Alor Setar, Alor Setar di Kedah.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.