Baling telur di kedutaan Malaysia di Jakarta



Penunjuk perasaan membaling telur di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Indonesia semalam ketika protes terhadap kejadian tembak pada 24 Jan melibatkan lima warga Indonesia di Selangor, yang menyaksikan seorang daripada mereka terbunuh.

Menurut laporan berita, hampir 100 penunjuk perasaan berkumpul di hadapan premis kedutaan itu dengan sebahagian daripada mereka memegang sepanduk menggesa pihak berkuasa menangkap dan mendakwa pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang melepaskan tembakan semasa kejadian di perairan Malaysia berhampiran Pantai Tanjung Rhu di Selangor.

Kompas.com melaporkan bahawa penunjuk perasaan kemudian membaling telur di premis kedutaan, yang mengenai lambang negara Malaysia dan pintu depan kedutaan.

Protes itu diadakan sehari selepas mayat lelaki yang terbunuh dalam kejadian tembakan itu dibawa pulang dan dikebumikan di kampung halamannya di Riau. Dia dikenal pasti sebagai pekerja asing berusia 50 tahun.

Kejadian pukul 3 pagi itu berlaku apabila lelaki terbabit didakwa menggunakan bot untuk merempuh bot peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sebelum cuba menyerang anggota penguat kuasa menggunakan parang.

Menurut polis, pegawai APMM terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri.

Walaupun polis berkata mereka sedang menyiasat kejadian itu, Kementerian Luar Indonesia berkata dua daripada lelaki itu telah menafikan versi pihak berkuasa Malaysia dan mendakwa bahawa tiada penentangan menggunakan senjata tajam.


Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.